Jalan kehidupan begitu misteri,
apabila kita berada di satu titik kehidupan,
kita merasa inilah kehidupan yang sebenar,
rupanya Allah cuma meminjamkan kita kehidupan tersebut
supaya kita terus berfikir dan terus berfikir hikmah-hikmahnya.

Jika kita tidak menjumpai putih, mungkin kita menjumpai hitam,
jika kita tidak menjumpai malam, mungkin kita akan menjumpai siang.
Hanya Allah mengetahui di sebalik apa yang Dia berikan kepada kita,
Dia mungkin tidak memberikan kita jawapan secara nyata,
tetapi dia memberikan kita jawapan secara rasa,
Rasa yang sukar untuk kita mengerti dan penuh dengan teka teki.

Cara Allah tunjukkan rasa kasih dan sayang itu berbeza untuk setiap insan,
pelbagai cara dan juga perasaan yang kita tidak lupa.
Cara Allah tunjukkan rasa kasih dan sayang kepada kita itu sesuatu yang dapat kita rasa,
biarpun awalnya kita rasa sukar dan tidak dapat diterima oleh jiwa.
Allah sayang kita, sangat sayang kepada kita.
Di dunia kita cuma seperti pen yang menulis di sehelai kertas kosong.
Habis masa kita akan berhenti menulis dan berhenti membaca.

Ada masa kita terlupa dan terleka,
kita berjalan di dunia langkah demi langkah,
tetapi kita lupa satu masa nanti kita akan berhenti melangkah,
kita akan sampai masa kita.

Allah sangat sayang kepada kita,
cuma kadangkala kita yang sentiasa lupa,
lupa apa janji kita, lupa jalan pulang kita.

Allah sangat sayang kepada kita,
cuma kadangkala kita yang hilang,
hilang tenggelam di dalam diri kita,
hilang dan terperangkap dalam kegelapan.

Rasailah kasih dan sayangnya Allah kepada kita,
biar kita tersedar dan menjumpai jalan pulang,
pulang yang tidak tidak sia-sia.
Jalan menuju kepadaNya.

Khairilizwan Jamros
Penulis yang lupa menulis.

16 Feb 2020
22:21